Konco-konco

Sabtu, 25 Jun 2011

Hina Itu Mulia [Episod 2]

“Benarkah aku haram? Betulkah aku hina? Mengapa mereka membenci aku?” Jiwaku serabut. Aku buncah cuba mencari jawapan akan hakikat diriku sebenarnya. Aku terus bertanya hingga aku terlena.

Malam itu sang sabit angkasa tidak kelihatan seperti malam semalam. Malam itu sangat suram tanpa bintang-bintang. Yang ada cuma bunyi cengkerik dan katak yang tidak henti-henti memecah suasana. Dalam keletihan diriku, aku dapat mendengar bunyi dentuman guruh yang semakin menghampiriku. Cahaya terang juga sekali-sekala kunjung menerangi alam yang kelam. Kedinginan bayu darat malam itu menyusup di celah-celah bulu badanku. Kesejukkan menampar tubuhku. Seketika kemudian, rintikan air mata langit mula menitis mengenai hidungku. Aku segera mencari tempat untuk berteduh daripada hujan yang bakal kunjung tiba. Ternyata langkahku longlai tidak berdaya. Aku tidak mampu bergerak lincah. Ah! Aku basah kuyup disimbah air hujan yang turun dengan lebatnya. aku berhenti berjalan dalam basah di sebuah taman permainan kanak-kanak. Aku berteduh di bawah sebuah pondok di situ.

Sedang aku berbaring lesu sambil memandang langit yang kian menampakkan seri, aku terdengar sayup-sayup suara tangisan. Suara tangisan itu semakin nyaring memukul gegendang telingaku. Aku mengamati baik-baik tangisan tersebut. Tangisan bayi! Aku mencari-cari dari arah mana datangnya suara tangisan itu. Aku melangkah perlahan mendekati suara tangisan tersebut. Aku kasihan melihat seorang bayi manusia masih merah sedang menangis dalam bungkusan kain. Seperti baru dilahirkan. Sama keadaannya seperti Thomas, anak kepada Puan Monica semasa baru dilahirkan hampir tiga tahun lepas. Aku cuba mengamati wajah bayi malang itu. Rasa sedih menampar dadaku. Sebak rasanya. “Siapakah yang membuang bayi ini? Hinakah dirinya sehingga dia diperlakukan sebegini? Mana perginya akal manusia kejam yang berbuat keji?” Aku ingin sekali membelai bayi itu tapi ia tidak mungkin. Aku hanya seekor anjing yang menjijikkan bagi mereka semua. Tapi aku juga tidak sanggup melihat permulaan hidup bayi ini dipenuhi dengan derita. Aku harus melakukan sesuatu.

Aku tidak berfikir panjang. Aku menggigit kain yang membalut badan bayi comel itu dan menggonggongnya mencari rumah yang aku boleh tinggalkannya. Bayi ini pasti dalam kesejukkan seperti yang aku rasakan. Sampai di sebuah rumah tidak berpagar, aku masuk ke halaman rumah tersebut dan terus meletakkan bayi itu di atas anak tangga rumah berkenaan. Kemudian, aku menyalak mengejutkan tuan rumah. Selang beberapa ketika, dalam samar seorang lelaki keluar dari pintu rumah lantas memukul belakangku ketika aku cuba mencium bayi tersebut. Aku tersentak dan melompat kesakitan.

“Sayang, ada bayi. Hampir-hampir digigit anjing.” Lelaki itu memandang wanita yang berada di belakangnya.
“Anak siapa, abang?” Wanita itu dalam kebingungan.
“Entahlah, sayang. Abang pun tidak tahu.” Aku terus mendengar perbualan suami isteri tersebut.
“Tidak mengapalah, abang. Kita ambil sahaja anak ini. Lagipun, sudah lama kita menginginkannya. Mungkin ini pemberian Tuhan.”

Aku tersenyum sendiri. Tidak sangka usahaku memberi sinar kepada bayi itu. Juga kepada pasangan suami isteri tersebut. Agaknya sudah lama mereka menantikan kelahiran cahaya mata. Tapi… Mereka tahukah aku yang membawa sinar kebahagiaan itu kepada mereka? Fikiranku terbeban lagi.

Matahari semakin menyinar menerangi isi alam. Pancaran terik sang suria menikam kelopak mataku membuatkan aku terjaga. Aku meneruskan perjalanan yang masih terlalu jauh. Sambil itu, aku berhenti di suatu lopak air untuk menghilangkan dahaga. Aku sempat melihat wajahku melalui lopak air itu.

“Inikah rupa aku yang mereka takutkan? Yang mereka hina? Bukankah aku juga sama seperti mereka? Ciptaan Yang Maha Esa?” Aku melihat wajahku yang dilibas menggunakan payung semalam. Luka. Darah masih mengalir. Patutlah aku terasa pedih apabila air hujan mengenai wajahku malam tadi. Aku memasukkan muka ke dalam lopak air untuk membersihkan darah dan luka tersebut.

Aku meneruskan lagi perjalanan. Kali ini, perutku berbunyi memberi amaran mahukan makanan. Ketika itu aku sedang melalui bahagian belakang sebuah restoran. Aku memerhatikan seorang pekerja berkulit cerah, secerah wajah Puan Monica sedang membersihkan ayam yang akan menjadi hidangan buat pelanggannya nanti. Aku memerhatikan dari jauh sambil menjelirkan lidah tanda kelaparan. Aku lihat sisa daging ayam yang tidak digunakan dibuang dan dimasukkan ke dalam tong sampah bersebelahan dengan meja tempat pekerja itu membersihkan ayam tersebut. Perutku semakin kuat menjerit kelaparan memaksa aku untuk mendekati tong sampah itu. Baru sahaja aku menghenjutkan badan dan memegang mulut tong sampah itu, satu bilahan parang pemotong daging hinggap di kaki kanan hadapanku. Genggamanku pada tong sampah semakin longgar. Kaki kananku putus! Darah memancut keluar dengan banyak. Kali ini aku meraung sekuat hati sambil berguling-guling di atas jalan. Terlalu perit dan pedih aku rasakan. Kaki kanan aku putus!

Derita aku tidak setakat itu sahaja. Kali ini pekerja itu keluar mendekati aku dan menyimbahku dengan minyak panas. Aku menggelupur kepanasan menahan sakit. Kulit badanku melecur teruk. Aku tidak mampu melawan perbuatan kejam ‘syaitan’ itu. Kalau aku melawan, mungkin lebih teruk lagi akan aku terima. Perlahan-lahan aku mengheret tubuh malangku pergi meninggalkan ‘neraka’ tersebut. Aku berteduh di bawah sebatang pokok sambil memerhatikan kaki kananku yang kini sudah kudung dan badanku yang melecur teruk. Kini, aku ditemani oleh langau dan lalat. Deritaku dijadikan rezeki buat mereka. Aku mampu membiarkan sahaja.

1 ulasan:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...