Konco-konco

Jumaat, 24 Jun 2011

Hina Itu Mulia [Episod 1]

PECAHAN seramik yang berkecai di atas lantai mengejutkan Puan Monica. Beliau bergegas keluar dari dalam rumah mendapatkan bunyi yang memukul gegendang telinganya. Seramik pasu dari China kesayangannya pecah! Aku berdiri di tepi serpihan pasu sambil menggigit piring permainanku. Puan Monica kaku seketika melihat pasu yang sudah berkecai. Beliau kemudian memandangku dengan penuh amarah. Mukanya merah padam. Tidak semena-mena, satu libasan kayu keras hinggap di kaki kiri hadapanku. Aku meraung kesakitan lalu melompat ke belakang. Puan Monica mengejarku dengan penuh dendam dan kali ini tengkukku menjadi sasaran hambatan padunya. Aku mengeluarkan air mata. Kesakitan terlalu amat aku rasakan. Puan Monica kemudiannya menarik telingaku dan mengheretku ke luar pagar rumah gadang itu. Aku tidak bisa melawan Puan Monica yang telah menjagaku sejak tiga tahun lalu. Badanku lemah.

Semalaman aku dibiarkan di luar pagar rumah agam itu. Hatiku berharap agar Puan Monica menjemputku masuk semula. Namun, impian itu cita-cita cuma. Pagi esoknya, Puan Monica keluar rumah tanpa memandang aku walau hanya seketika. Mukanya masih lagi menampakkan rasa marah. Akhirnya, seminggu aku terbiar di luar umpama sepah yang tiada lagi manis madunya. Aku mula sedar bahawa aku tidak diperlukan lagi. Air mata mula membasahi pipiku mengenang nasib yang tidak terbela. Aku kemudian meninggalkan rumah gadang itu dan berazam untuk pergi jauh membawa kekecewaan jiwa.

“Mengapa aku diperlakukan sebegini? Apa salah aku?” Aku meratapi tindakan Puan Monica yang terburu-buru menghukum aku. Kalaulah aku boleh berkata pada waktu itu, akan aku beritahu Puan Monica bahawa aku tidak bersalah. Tapi aku tidak bisa. Tuhan tidak mengurniakan aku lidah yang mampu untuk mengungkap bicara. Aku memulakan langkah terhenjut-henjut menuju tempat yang tiada arah.

Hampir separuh hari aku berjalan. Perutku mula meragam. Kekosongan ruang hadam memaksa aku untuk mencari sesuap makanan. Aku menoleh ke arah kanan jalan raya.

Tong Sampah! Aku sedikit gembira. Mungkin inilah hari pertama buat aku menyelongkar tong berwarna hijau ini setelah sekian lama makan minumku terhidang dan disediakan oleh Puan Monica. Aku sudah tiada pilihan. Aku melompat masuk ke dalam tong sampah dan mula mencari kalau-kalau ada sisa makanan. Sedang akau sibuk mencari pengalas perutku, aku mula sedar akan tiga pasang mata sedang memerhatikan gelagatku dengan pandangan yang cukup tajam. Aku cuba bersembunyi. Namun, setiap kali aku menjenguk keluar, ketiga-tiga pasang mata itu masih lagi memerhatikan aku. Aku kaget. Tanpa berfikir panjang, aku melompat keluar dari tong hijau itu dan terus berlari laju. Namun, kelajuanku tidaklah sepantas mana pun. Kecederaan kaki kiri hadapan yang aku alami membataskan langkahku. Tiga ekor anjing sedang mengekori aku dari belakang dengan kayuhan langkah yang sangat pantas sambil menjelirkan lidah seolah-olah mahu membahamku. Sungai! Aku tiada pilihan selain terjun ke dalam sungai tersebut kalau mahu selamat daripada tiga ekor anjing tadi.

“Tuhan, apakah yang cuba Kau berikan kepada aku? Aku tidak larat untuk menghadapi semua ini. Akhirkanlah semua ini.” Aku memerhatikan luka di kaki kiri. Tengkukku yang dihambat oleh Puan Monica belum sembuh sepenuhnya.

“Robi, mari kita keluar jalan bersiar-siar.” Masih teringat lagi kata-kata Puan Monica sehari sebelum aku dihalau keluar dari hidup beliau. Aku rindukan piring permainan yang beliau hadiahkan kepada aku setahun lalu.

Aku terus berjalan mencari kehidupan yang belum pasti. Aku berehat seketika di sebelah perhentian bas sambil merebahkan badan di atas rumput. Seorang wanita hampir separuh abad turun dari bas dan terus beredar melintasi jalan. Aku memerhatikan kelibat wanita itu. Tiba-tiba beg duitnya terjatuh dari beg tangan tanpa dia sedari. Aku gagahkan diri untuk bangun dari rehatku untuk mengambil beg duit itu dan mendapatkan wanita tersebut. Setelah menghampirinya, aku menyalak dan membuatkannya terkejut. Wanita itu berpaling ke arahku sambil memandangku dengan penuh takut.

“Ini beg duit puan. Tercicir tadi.” Ingin sekali aku mengucapkan kata-kata itu. Wanita itu mengambil beg duit tersebut dengan pantas. Aku cuba mendekatinya. Tapi perbuatanku disambut dengan hayunan payung yang mengenai pipiku. Sekali lagi aku kesakitan.

“Hai binatang haram! Binatang hina! Pergi!” Hujung payung dihunuskan ke arahku. Mungkin ini cara manusia berterima kasih. Aku tidak melawan kerana badanku sangat lemah. Aku hanya mampu terbaring lesu.

“Benarkah aku haram? Betulkah aku hina? Mengapa mereka membenci aku?” Jiwaku serabut. Aku buncah cuba mencari jawapan akan hakikat diriku sebenarnya. Aku terus bertanya hingga aku terlena. 

1 ulasan:

  1. salam...

    sungguh menarik ceriteranya,,, penuh dengan eksprimental... selamat berjaya menjadi menjadi seorang penulis... mesti dapat A+ untuk paper penulisan kreatif (^.^)

    BalasPadam

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...