Konco-konco

Sabtu, 11 Jun 2011

Apa Makna Hujan? Episod 5 [Final Episode]

EPISOD 4


“Haiqal kata belum ada rezeki cikgu. Nanti kalau bapa Haiqal sudah gaji, Haiqal bayar.” Haiqal menjawab sambil berjalan ke ruang tengah rumah mengambil surat peringatan yang dikirimkan kepada Aslam dan menyerahkan surat itu kepada Aslam.

“Sabarlah Haiqal. Nanti bapa usahakan, ya.” Aslam menjawab ringkas sambil melihat surat peringatan tersebut.

“Bapa, kalau bapa rasa beban haiqal berhenti sekolah sahajalah. Haiqal kasihan lihat ayah memikirkan tentang masalah ini.” Haiqal memberi cadangan kepada Aslam. Aslam terdiam membisu seribu bahasa.

Haiqal telah meneruskan pelajarannya ke alam sekolah menengah di salah sebuah sekolah berhampiran dengan rumahnya. Aslam tidak mampu menyambung pelajaran Haiqal ke Asrama Penuh di Labuan seperti yang ditawarkan kepadanya dahulu. Manakala Edi tidak bersekolah lagi dan hanya duduk di rumah menghabiskan masa bersama Kalsum dan Imah. Walaupun tidak bersekolah, Edi tidak pernah menyalahkan Aslam dan Kalsum. Baginya, semua itu liku hidup yang harus diharungi oleh mereka sekeluarga dengan penuh tabah.

Selepas beberapa bulan lamanya, Kalsum semakin sarat. Kandungannya seolah-olah sudah tiba untuk dilahirkan ke dunia. Mujurlah pada hari Kalsum ingin melahirkan anaknya, Aslam tidak masuk ke kebun kelapa sawit ibunya. Kalsum mula merasa semakin sakit. Dia kerap kali ke tandas ingin membuang air kecil tetapi tidak menjadi. Kalsum semakin menahan kesakitan hari itu sehinggalah pukul 2.00 petang Kalsum merasakan dia ingin melahirkan bayi dalam kandungannya. Air ketuban membasahi kain sarung yang dipakainya. Aslam menuju ke rumah Pak Cik Jah memberitahu keadaan tersebut. Tanpa melengahkan masa, Pak Cik Jah meminta anaknya, Ujang untuk mengambil Mak Bidan menggunakan motorsikal miliknya.

Tidak sampai setengah jam, Mak Bidan kampung sampai di hadapan rumah. Kalsum kelihatan semakin pucat bertarung nyawa untuk melahirkan adik baru Haiqal. Dengan kuasa Tuhan, tidak sampai 15 minit, Kalsum berjaya melahirkan seorang lagi anak lelaki buat Aslam sekeluarga. Aslam tersenyum gembira dan terus mengazankan anak lelakinya itu. Edi dan Imah sempat menyaksikan saat-saat genting Kalsum melahirkan adik baru mereka. Kalsum dalam keadaan lemah mengdukung bayi lelaki yang baru sahaja dilahirkannya itu. Kini bertambahlah bilangan ahli keluarga Aslam dan Kalsum. Ayah mengucapkan terima kasih kepada Mak Bidan sambil menghulurkan sedikit sedekah kepada beliau. Mak Bidan menolak pemberian Aslam kerana mengerti akan keperitan hidup Aslam. Mak Bidan menyuruh Aslam menggunakan duit itu untuk membeli barangan keperluan bayi lelaki itu. Aslam sungguh terharu dengan kemuliaan Mak Bidan. Mak Bidan kemudian dihantar pulang oleh Ujang.

“Abang risau. Anak kita sudah lahir. Abang masih tidak mendapat kerja.” Bisik Aslam di telinga Kalsum sambil melihat anak kecilnya itu.

“Tidak mengapa abang. Belum ada rezeki. Kita sudah usahakan tapi masih tidak berhasil kan.” Kalsum cuba menenangkan Aslam.

“Tapi abang kasihan melihat bayi ini. Dia lahir dalam keadaan yang sangat susah, Sum.” Aslam menambah lagi.

“Apa yang abang ingin risaukan. Bayi ini tidak meminta apa-apa daripada abang. Dia Cuma perlukan kasih sayang. Sama seperti anak-anak kita yang lain. Janganlah bayi ini dijadikan beban fikiran abang. Sabarlah abang. Tuhan pasti akan membantu kita.” Ujar Kalsum lagi.

Beberapa hari selepas kelahiran Hafiz ke dunia. Aslam mendapat kerja di sebuah kilang papan kira-kira 8 kilometer dari rumahnya. Ana dan Wati juga mendapat kerja di sebuah kilang membuat minuman tidak jauh dari tempat kerja Aslam. Kalsum kini semakin sihat dan mampu untuk menjalani kehidupan seperti biasa. Hidupnya kini banyak dihabiskan dengan anak barunya, Hafiz yang baru berusia tidak sampai seminggu lagi. Edi dan Imah kini tidak lagi rasa bosan berada di rumah kerana sudah ada teman baru yang menceriakan hidup mereka. Kadang-kadang mereka berdua berebut-rebut untuk menjaga Hafiz yang kelihatan comel mirip wajah Kalsum. Haiqal juga seperti mereka berdua. Tidak sabar untuk pulang ke rumah selepas waktu persekolahan semata-mata ingin menjaga adik barunya. Ternyata kelahiran Hafiz ke dunia memberikan sejuta erti kepada keluarga Aslam. Hafiz seperti cahaya baru yang membawa rezeki kapada Alasm sekeluarga.

Suatu petang, semasa mengangkat air dari kolam seperti biasa, Haiqal terjatuh lalu tergolek bersama gelen yang berisi air di bukit kebun sawit Pak Cik Jah. Haiqal berasa sangat sakit memnyebabkan dia terbaring lama di atas tanah. Selepas beberapa minit barulah dia mampu untuk berdiri dan berjalan kembali ke rumah. Dalam keadaan sakitnya itu, dia tetap meneruskan rutin hariannya itu seperti biasa. Kejadian itu disembunyikan daripada pengetahuan Aslam dan Kalsum.

Keesokkan harinya, Haiqal berjumpa dengan doktor di klinik desa untuk membuat pemeriksaan. Doktor mendapati tulang belakangnya sedikit cedera menyebabkan dia sukar untuk berdiri dan duduk lama. Doktor menasihatkannya berehat di rumah dan memberitahu keadaan tersebut kepada ayah dan emaknya. Namun, Haiqal terus menyembunyikan hal tersebut kerana tidak mahu merosakkan kegembiraan yang baru sahaja dinikmati oleh keluarganya.

Hingga hari ini, keluarganya tidak mengetahui akan penyakit yang dihidapi oleh Haiqal walaupun kejadian itu berlaku hampir sembilan tahun yang lalu. Kehidupan Haiqal kini sudah berubah menjadi seorang mahasiswa yang menuntut di salah sebuah Institut Pengajian Tinggi Awam Malaysia.

Seruan azan maghrib daripada masjid mengejutkan Haiqal. Imbauan kenangan silamnya yang sangat memeritkan itu semakin kabur dalam kesamaran senja. Matahari yang tadinya berada di kaki lagi sebelah barat sudah menghilangkan diri. Merah saga pada langit sungguh indah. Bulan semakin bersinar di hiasi dengan bintang-bintang yang semakin bergemerlapan memagari purnama itu. Haiqal mematikan lamunannya dan mengangkat punggung lalu kembali ke kolej kediamannya.

“ Mak, ayah, Haiqal janji akan ubah nasib hidup kita sekeluarga.” Bisik Haiqal dalam hati.

Benarlah bahawa hujan bukan petanda malang semata-mata. Tapi ia boleh memberikan kebahagian kepada kita. Itu makna hujan. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...