Konco-konco

Khamis, 9 Jun 2011

Apa Makna Hujan? Episod 4



“Maafkan bapa, Qal. Bapa tidak dapat tunaikan impian Haiqal untuk belajar di Labuan. Tapi, bapa janji akan teruskan pengajian Haiqal sampailah Haiqal berjaya. Cuma mungkin bukan sekarang masanya.” Aslam merenung mata Haiqal dalam-dalam. Haiqal hanya mampu tunduk dan mengalirkan air mata. Sebak dadanya mengenangkan nasib hidup yang dikongsi oleh mereka sekeluarga.

“Mak, beras sudah habis.” Ana keluar dari dapur dan mendapatkan kalsum. Mukanya serba salah untuk memberitahu Kalsum bahawa mereka kehabisan beras. Kalsum terdiam. Begitu juga dengan Aslam. Mereka saling berpandangan. Haiqal memerhatikan Aslam dan Kalsum dengan penuh rasa simpati.

“Bubur nasi yang Ana masak tengah hari tadi beras terakhir, mak.” Ana menambah lagi.

“Tidak mengapa, Ana. Ana masuklah ke dalam dulu. Nanti mak fikirkan.” Kalsum berkata kepada Ana. Ana menuruti arahan emaknya itu.

Kalsum hilang fikiran. Sudah banyak kali Kalsum meminjam beras daripada Pak Cik Jah. Bukan setakat beras, garam, gula, bawang dan kopi juga seringkali diberikan oleh Pak Cik Jah kepada keluarga Aslam. Pak Cik Jah sahaja yang selalu membantu keluarga Aslam pada waktu itu. Adik-berdik Aslam entah ke mana menghilang. Semasa senang dahulu, adik-beradik Aslam selalu menjenguk Aslam dan kadang-kadang meminta bantuan kewangan daripada Aslam. Tapi, hari ini apabila Aslam yang menghadapi keperitan hidup, batang hidung seorang adik-beradiknya tidak kelihatan. Bayang pun tidak muncul menziarahi Aslam sekeluarga. Benar kata Kalsum “Orang akan datang bila kita senang, bila kita susah tiada siapa yang mahukan kita.” Itulah kata-kata yang pernah keluar daripada mulut Kalsum meratapi penghinaan terhadap keperitan hidup mereka.

Aslam mengajak Haiqal keluar rumah seketika. Aslam membawa Haiqal ke kawasan di mana banyak pokok ubi tumbuh meliar. Dengan sebilah parang, Aslam membersihkan semak-samun sekitar pokok-pokok ubi tersebut dan menarik batang ubi yang tumbuh meliar itu. Selepas sejam bersama-sama mencabut pokok ubi tersebut. Haiqal dan Aslam berjaya mendapatkan satu baldi berisi ubi. Haiqal dan Aslam membawa pulang ubi yang diperoleh itu ke rumah. Sampai sahaja di rumah, Kalsum membersihkan ubi tersebut dan kemudian merebusnya untuk dijadikan makanan makan malam nanti. Kalsum dengan wajah tenang menunggu ubi yang dimasaknya empuk sambil duduk di atas buaian yang tergantung di bawah rumah. Haiqal dan Edi seperti biasa melakukan rutin harian mereka menuju ke kolam Pak Cik Jah mengangkat air untuk kegunaan harian. Petang itu Wati dan Ana ikut sekali kerana ingin membasuh pakaian di tepi kolam Pak Cik Jah. Kalsum memerhatikan sahaja gelagat lima orang anaknya itu dengan penuh belas kasihan.

Imah makan dengan penuh selera malam itu. Haiqal, Ana dan Wati yang sudah mampu memahami keperitan hidup mereka saling berpandangan. Dengan berbekalkan lampu pelita minyak tanah, mereka sekeluarga makan ubi yang di rebus oleh Kalsum petang tadi. Aslam makan sambil memerhatikan anak-anaknya seorang demi seorang. Matanya berkaca-kaca. Hatinya meruntun sayu.

Sudah dua minggu Aslam sekeluarga makan ubi setiap hari. Namun Haiqal dan adik-beradik yang lain tidak pernah mengeluh. Kadang-kadang mereka memetik buat kepayas muda yang ditanam oleh Kalsum untuk dijadikan santapan di waktu tengah hari. Kepayas itu akan dibuat jeruk dan dimakan begitu sahaja.

“Mak, Pak Cik Jah kata minggu depan sudah buka sekolah. Betulkah?” Edi bertanya kepada Kalsum. Kalsum sedikit tersentak.

“Edi mahu kasut baru. Kasut Edi sudah koyak. Baju Edi masih elok lagi. Jadi emak dan bapa tidak perlu beli lagi. Beg pun masih elok. Cuma koyak sikit saja.” Edi menambah lagi. Edi seperti bersemangat untuk meneruskan persekolahannya. Namun, dia tidak tahu yang Aslam tidak mampu untuk menyekolahkan mereka kesemuanya. Ana dan Wati memandang Edi.

“Edi, sedap tidak jeruk kepayas yang kakak buat?” Ana bertanya kepada Edi ingin mengalihkan fikiran Edi. Edi mengangguk memberitahu Ana jeruk tersebut sedap rasanya.

“Petang ini kita ke kebun emak. Kita bersihkan kebun mak, mahu?” Ana mengajak Edi. Edi mengangguk lagi tanda setuju. Kalsum terdiam memikirkan Edi yang ingin bersekolah.

Kalsum mendapatkan Aslam yang duduk di anak tangga petang itu. “Abang, minggu depan sekolah akan dibuka semula.” Kalsum bersuara.

“Abang tahu, Sum. Sebab itu abang mendiamkan diri. Abang tidak tahu bagaimana hendak meneruskan pelajaran anak-anak kita itu.” Aslam menyambut kata-kata isterinya yang sarat mengandung itu.

“Wati dan Ana sudah Sum beritahu. Mereka terima sahaja kalau mereka diberhentikan sekolah. Mereka kata PMR itu pun sudah cukup untuk mereka berdua, bang. Haiqal juga ingin berhenti sekolah kalau kita tidak mampu.” Kalsum berkata lagi.

“Abang rasa malu dengan mereka, Sum. Abang seorang bapa yang tidak berguna. Abang gagal menjadi seorang ayah yang baik.” Aslam menitiskan air mata.

“Bukan salah abang. Semua ini ujian hidup abang. Kita mampu merancang, tapi Tuhan yang menentukan. Abang, Edi sahajalah yang kita sekolahkan. Dia nampak beriya sangat hendak meneruskan pelajarannya.” Kalsum meneruskan lagi.

“Sum, kalau boleh abang ingin teruskan pengajian Haiqal. Dia lagi cerdik daripada yang lain. Harapan abang pada dia tinggi, Sum.” Aslam memegang perut Kalsum. Kalsum hanya menganggukkan kepala menuruti kata-kata suaminya.

Satu petang, Aslam memanggil semua anaknya duduk di ruang tamu. Haiqal dan adik-beradik yang lain berkumpul seperti yang disuruh oleh Aslam. Imah juga turut serta dengan abang-abang dan kakak-kakaknya walaupun dia tidak mengerti apa-apa lagi. Botol susunya tidak lepas daripada bibirnya walaupun kadang-kadang hanya air kosong sahaja yang diisikan ke dalam botol susu tersebut. Baginya air kosong pun sudah memadai seolah-olah dia sudah mengerti akan kesusahan hidup keluarganya.

“Bapa ada benda mahu beritahu pada kamu semua.” Aslam memulakan kata-kata setelah semua anaknya berkumpul di ruang tamu termasuk Kalsum. Anak-anaknya tertanya-tanya apa benda yang penting sangat sehingga Aslam meminta mereka berkumpul petang itu.

“Ana, Wati, bapa minta maaf dengan kamu berdua. Bapa rasa kamu sampai PMR sahaja. Bapa sudah tidak mampu mahu sambung pelajaran kamu lagi. Bapa harap kamu berdua faham keadaan kita sekarang.” Aslam memandang kedua-dua orang anaknya itu. Wati dan Ana mengangguk dalam penuh rasa sedih. Ana kemudian tunduk menyembunyikan kesedihannya. Haiqal dan Edi berpandangan antara satu sama lain. Mugkinkah nasib mereka juga sama seperti kakak mereka? Masing-masing tertanya-tanya.

“Edi, Haiqal, bapa juga ingin meminta maaf dengan kamu berdua. Kamu berdua anak lelaki bapa. Tapi bapa tidak mampu untuk meneruskan pengajian kamu berdua sekaligus. Bapa terpaksa memilih antara kamu berdua untuk terus belajar. Edi, bapa punya harapan tinggi pada Edi, tapi bapa minta maaf. Bapa terpaksa sambungkan pelajaran Haiqal terlebih dahulu. Bila ada rezeki, bapa akan sambung pelajaran Edi.” Jelas Aslam kepada dua orang anak lelakinya. Haiqal memandang mata Edi. Mata Edi berkaca-kaca. Harapannya untuk memakai kasut sekolah baru tidak tercapai. Dia memandang Haiqal dan terus menangis. Haiqal memeluk adik lelakinya itu. Air mata turut mengalir daripada kelopak mata Haiqal.

“Bapa, biarkanlah Edi yang sekolah. Haiqal boleh bantu bapa di kebun.” Haiqal cuba mengubah keputusan ayahnya. Edi mengelap airmata mengharapkan keputusan baru Aslam. Aslam menggeleng-gelengkan kepala. Aslam tetap pada keputusan asalnya membuatkan Edi bertambah sebak.

“Bapa, Wati rasa mahu cari kerja.” Wati tiba-tiba bersuara.

“Ana juga!” Ana turut berpendapat sama mengikut jejak pendapat kakaknya itu.

Aslam tersenyum hambar melihat anak-anaknya itu. Aslam tahu bahawa Wati dan Ana sudah bisa untuk mengerti penderitaan keluarga mereka. Aslam menganggukkan kepala tanda setuju. Kalsum tidak semena-mena mengalirkan air mata dan bingkas bangun meluru ke dalam bilik. Sebak dadanya melihat anak-anaknya yang terpaksa menempuh kehidupan sukar. Kalsum lebih celaru lagi bila memikirkan anak dalam kandungannya akan dilahirkan tidak lama lagi. Aslam yang mendapat upah RM200 daripada ibunya setiap bulan berjimat sehabis mungkin untuk menyara keluarganya.

Dua bulan berlalu, Kalsum merebus pisang untuk dijadikan makan malam. Seperti biasa bila sahaja tiba penghujung bulan, mereka sekeluarga akan kehabisan beras. Kalau bukan ubi kayu, pisanglah menjadi santapan mereka sekeluarga. Malam itu, Edi mendekati Haiqal yang duduk di tengah rumah menyiapkan kerja sekolah. Cahaya pelita minyak tanah yang menerangi suram malam itu digunakan Haiqal untuk membuat kerja sekolahnya. Edi merenung sahaja abangnya tanpa berkata apa-apa.

Aslam dan dua orang anak perempuannya, Ana dan Wati keluar sejak pagi tadi pergi mencari kerja. Sudah pukul 7.00 malam mereka bertiga belum pulang lagi. Agaknya beberapa minit lagi sampailah mereka. Kalsum membelai rambut Imah yang sedang baring di pangkuannya. Beberapa minit kemudian, Aslam dan dua orang anak perempuannya tiba di pintu rumah. Muka mereka bertiga suram sudah cukup untuk memberitahu Kalsum mereka gagal mendapatkan kerja. Selepas memberi salam, mereka bertiga masuk ke dalam rumah dan terus mencapai alatan mandi menuju ke kolam Pak Cik jah untuk membersihkan badan. Selang setengah jam selepas itu, mereka bertiga kembali ke rumah dan bersiap-siap untuk makan. Walau dalam keadaan penat, Wati dan Ana tetap berselera dengan juadah pisang makan malam mereka.

“Tunggulah Ana dapat kerja nanti, Ana belikan ayam untuk Imah, ya.” Ana tiba-tiba bersuara semasa makan sambil memandang Imah yang nampak tidak berselera.

“Imah tidak mahu ayam. Imah mahu makan nasi.” Imah merengek manja.

“Imah, malam ini emak tidak masak nasi sebab bapa mahu makan pisang.” Aslam menyampuk ingin memujuk Imah.

“Bapa setiap hari mahu makan pisang. Setiap hari mahu makan ubi kayu. Bila bapa mahu makan nasi?” Imah bertanya kepada Aslam dengan suara manjanya.

“Sabarlah. Nanti kita makanlah nasi. Lagipun, pisang ini kan Imah yang tanam dengan mak. Imah Ingat tidak?” Kali ini giliran Kalsum pula memujuk anaknya. Imah tersenyum dan kembali berselera makan.

“Bapa, Cikgu Saliha tanya bila mahu bayar yuran. Sudah lewat dua bulan katanya.” Haiqal tiba-tiba bersuara. Aslam memandang haiqal dan terdiam seketika. “Haiqal malu bapa sudah banyak kali dia panggil Haiqal bertanya soalan yang sama.”

“Habis tu, Haiqal kata apa?” Wati kemudian bertanya.

“Haiqal kata belum ada rezeki cikgu. Nanti kalau bapa Haiqal sudah gaji, Haiqal bayar.” Haiqal menjawab sambil berjalan ke ruang tengah rumah mengambil surat peringatan yang dikirimkan kepada Aslam dan menyerahkan surat itu kepada Aslam.

“Sabarlah Haiqal. Nanti bapa usahakan, ya.” Aslam menjawab ringkas sambil melihat surat peringatan tersebut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...