Konco-konco

Jumaat, 27 Mei 2011

Apa Makna Hujan? Episod 2

Haiqal terkelu mendengar kata-kata spontan ayahnya itu. Dia sudah tidak tahu untuk berkata apa-apa lagi. Haiqal kemudian merebahkan badan di atas lantai rumah yang tidak beralas. Lantai papan inilah yang menjadi tilam tempat dia sekeluarga beradu merehatkan diri dan tidur pada waktu malam. Tilam? Bantal? Mungkin beberapa tahun lagi dapatlah haiqal sekeluarga merasakan empuk tilam dan bantal yang diimpikan itu. Itupun kalau diizinkan Tuhan. Kalau tidak, papan inilah yang akan menjadi teman tidur mereka sampai bila-bila.

Perlahan-lahan mata Haiqal semakin layu dan akhirnya terpejam.

“Mak masak apa hari ini?” Haiqal bertanya kepada Kalsum yang sedang duduk menonton televisyen di ruang tamu. Haiqal baru sahaja balik dari sekolah dan terus meluru ke arah Kalsum. Kalsum sedikit terperanjat dan hampir sahaja menampar Haiqal. Kalsum tidak mampu untuk memarahi anaknya cerdiknya itu.

“Berapa kali mak mahu pesan? Masuk rumah bagi salam.” Kalsum menegur anaknya itu sambil memulas-mulas telinga kanan Haiqal yang capang. Haiqal merengek manja.

“Hari ini mak tidak masak. Mak sudah penat masak untuk Haiqal setiap hari. Hari ini mak tunggu Haiqal balik rumah masak untuk mak pula.” Kalsum cuba mengusik Haiqal.

“Baguslah kalau mak tidak masak. Bolehlah Haiqal makan di warung Haji Hassan.” Haiqal berseloroh mengenakan emaknya semula. Kalsum buat-buat tidak dengar dan terus menonton Buletin 1.30 pada televisyen.

“Lagipun, Haiqal pun sudah penat makan masakan mak setiap hari.” Haiqal menambah lagi untuk menarik perhatian Kalsum. Dia ketawa kecil.

Kalsum kemudian dengan tiba-tiba menerkah Haiqal yang sedang baring di sebelah kirinya. Haiqal sempat mengelak dan bingkas bangun berlari ke dapur. Kalsum mengejar anaknya yang nakal itu.

Aslam menggerak-gerakkan badan Haiqal. Haiqal terjaga dari lenanya yang seketika itu. Layar mimpinya terpadam tiba-tiba. Cerita yang dua tahun lepas itu hilang selepas dia terjaga dari tidurnya.

“Haiqal, sudah lewat petang ni. Bangunlah.” Aslam mengejutkan Haiqal.

Haiqal hanya melihat sahaja Aslam yang berdiri betul-betul di hadapannya. Haiqal merenung dalam wajah lelaki separuh abad itu dengan penuh kasih sayang. Kerut dahinya menampakkan usia tuanya yang semakin dimamah usia. Kulitnya sedikit gelap kerana sejak bujang remaja lagi kebun kelapa sawit kepunyaan nenek Haiqal menjadi tempatnya mencari makan. Maklum sahajalah alam sekolah pun tidak pernah dirasai oleh beliau. Hanya ilmu kebun kelapa sawit sahaja yang dipelajarinya sejak kecil. Aslam kelihatan sedikit kurus sejak beberapa bulan ini mencerminkan beliau juga merasai keperitan hidup yang dirasai oleh Haiqal.

Haiqal kemudian mengangkat badannya dan duduk sambil melihat sekitarnya. Di sebelah Haiqal, Imah sedang nyenyak tidur dengan botol susu yang masih melekat pada bibirnya. Kanak-kanak berusia 4 tahun itu seolah-olah sedang enak dibuai mimpi indah yang tidak sedar akan kehidupan nyata. Haiqal bingkas bangun sambil menoleh ke arah jam dinding. Jam lima petang sudah.

“Kau sudah makan, Qal?” Soal Edi kepada Haiqal.

“Belum lagi. Aku baru bangun tidur.” Haiqal menjawab pertanyaan adik lelakinya itu.

“ Mak mana?” Haiqal kemudian bertanya kepada Edi.

“Tu. Di kebun sayurnya.” Edi menjawab sambil menunjuk ke arah kebun sayur Kalsum kira-kira 20 meter dari rumah mereka.

“Kau makanlah dulu. Lepas itu, kita angkat air dari kolam pak cik.” Sambung Edi lagi. Haiqal menuruti kata-kata adiknya yang muda setahun dari dia.

Selepas makan, Haiqal mendapatkan Edi dan mengajaknya ke kolam Pak Cik Jah untuk mengangkat air. Edi yang mengenakan baju t-shirt putih dan seluar pendek mengikut Haiqal bersama tiga gelen air yang kosong dan kereta sorong. Haiqal dan Edi mula melakukan rutin harian mereka seperti biasa. Setibanya di kolam Pak Cik Jah yang kira-kira 500 meter menuruni bukit curam dari rumah Haiqal, mereka berdua mengisi air kolam ke dalam gelen air yang beisipadu 100 liter air setaip satu. Mereka terpaksa mengharungi bukit curam dalam ladang kelapa sawit kepunyaan Pak Cik Jah untuk mendapatkan air.

Haiqal menolak kereta sorong yang sarat dengan muatan tiga gelen berisi air menaiki bukit yang curam. Sementara Edi pula membantu Haiqal dengan menarik dari hadapan menggunakan tali yang diikat pada hadapan kereta sorong. Begitulah rutin mereka setiap hari yang akan melakukan tugas itu tujuh hingga lapan kali berulang-alik setiap petang untuk kegunaan air di rumah. Selesai melakukan tugas itu, Haiqal duduk di atas tanah di hadapan rumahnya sambil melihat emaknya yang sibuk membersihkan rumput-rumput yang cuba mencuri makanan sayur tanamannya.

“Mak rasa sakit! Kepala mak macam ditikam dengan pisau tajam!” Jerit Kalsum sekuat hati. Air matanya mengalir deras menggambarkan betapa sakitnya bisa yang menusuk kepalanya. Pada zahirnya memang tiada siapa yang dilihat menikam kepala Kalsum. Haiqal adik-beradik menangis kuat mengasihani Kalsum yang dalam kesakitan. Ayah semakin buntu. Begitulah sakitnya derita Kalsum yang dialaminya beberapa bulan yang lalu akibat buatan orang yang cemburu akan keluarga Haiqal. Sebelum Kalsum, Aslam juga menerima nasib yang sama apabila dia hampir gila dibuat orang. Mujurlah mereka berdua sudah pulih selepas berubat secara tradisional. Namun semua itu atas bantuan Allah yang maha berkuasa.

Semuanya bermula apabila Aslam berpindah kerja ke sebuah ladang kelapa sawit jauh di pedalaman bumi Sandakan. Beliau mendapat kerja sebagai seorang mandur pada awalnya. Tidak sampai tiga bulan, belia dinaikkan gaji akibat dedikasi dan kerajinan beliau melakukan kerja. Aslam yang seorang pendiam tetapi ramah menjadikan dia disukai oleh majikannya dan tidak lama selepas itu dia dinaikkan pangkat kepada pegawai ladang. Belum sempat beliau memegang jawatan itu, keluarga Aslam menjadi porak-peranda. Surat layang mengancam keluarganya dihantar ke rumah. Aslam kemudian diganggu dengan bisikkan-bisikkan halu sehingga dia bercakap seorang diri. Kadang-kdang dia akan melenting tiba-tiba. Kalsum pula tiba-tiba menjadi pendiam dan tidak mahu bergurau seperti selalu. Keadaan itu amat merisaukan Haiqal sekeluarga sehinggalah Wati, kakak kepada Haiqal memujuk ayahnya untuk keluar dari ladang itu dan balik semula ke kampung.

Setibanya di kampung, benda kurafat itu tetap mengikut jejak mereka sekeluarga dan ingin melihat kesengsaraan mereka sekeluarga. Aslam hilang sumber pendapatan dan hampir gila akibat perbuatan syirik itu. Kalsum juga menerima kesan yang sama. Keadaan itu dialami oleh mereka sekeluarga hampir dua bulan lamanya. Alhamdulillah, kini semuanya sudah kembali pulih walaupun saat-saat perit itu masih menampakkan kesan sehingga hari ini. Tidak cukup dengan kehilangan kebahagian dan kegembiraan, Haiqal adik-beradik terpaksa berhenti sekolah buat seketika kerana Aslam yang hanya menagih ihsan nenek Haiqal memberikan mereka sekeluarga nafkah dengan bekerja di kebun kelapa sawit kepunyaan ibu kandungnya sendiri.

Air mata mula mengalir di pipi Haiqal sebelum jatuh ke tanah. Sesekali dia  mengelap air mata itu takut dilihat oleh yang lain. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...