Konco-konco

Isnin, 23 Mei 2011

Apa Makna Hujan? Episod 1

Petang itu, selepas joging seperti biasa, Haiqal duduk di tepi bukit berhampiran kolej kediamannya sambil memerhati matahari yang kian menghilang di sebalik kaki langit. Dari arah bertentangan, bulan kian menyinar memantulkan sinar suria untuk menerangi malam sekejap lagi. Haiqal memerhatikan burung-burung yang terbang pulang kembali ke sarang masing-masing. Deruman motorsikal sekali-sekala mengganggu tumpuannya mengamati kejadian alam petang itu. Haiqal melemparkan pandangannya jauh-jauh.

Suasana semakin kelam pagi itu. Matahari sudah tidak terdaya lagi bertahan melawan kekuasaan kelabu mendung yang semakin melebarkan pengaruhnya. Keceriaan pagi itu tenggelam dihanyutkan oleh arakkan awan kelabu yang bergerak laju mengusir sinar suria. Angin mulai bertiup perlahan sesekali menampar wajah Haiqal yang duduk termenung di atas anak tangga rumah sambil melemparkan pandangan ke arah pohon-pohon kelapa sawit di persekitaran rumahnya. Kelihatan lalang yang subur di bawah pepohonan kelapa sawit itu menari-nari ditiup angin. Ada juga daun-daun kering sedang berkejar-kejaran di atas tanah seolah-olah berlumba-lumba mencari garis penamat yang entah di mana letaknya. Ah! Perlahan-lahan awan mulai menangis menitiskan airmatanya dan semakin lebat seolah-olah meratapi kerapuhan hidup yang dijalani oleh Haiqal sekeluarga. Haiqal Cuma mampu untuk terus termenung dan turut serta meratapi nasib hidup yang kabur dan penuh dengan kabus tebal.

Haiqal terus duduk diatas tangga sambil melihat air keruh yang mengalir di tepi jalan tidak berturap di hadapan rumahnya. Air keruh itu mengalir menuruni bukit hingga ke kaki bukit kira-kira 20 meter dari rumah usang Haiqal. Begitulah kehidupan Haiqal yang semakin tiada kejernihan dan semakin menguning ibarat tiada masa depan lagi. Haiqal seolah-olah sudah putus asa untuk merempuh rintangan hidup yang tiada henti. Entahlah, bilakah agaknya dugaan ini akan berakhir dalam hidup Haiqal. Haiqal sudah lali dengan hariannya yang sukar menghirup rasa bahagia dan gembira.

Setengah jam berlalu. Awan semakin ketandusan air untuk dicurahkan ke bumi. Rintikan semakin mengecil dan beransur henti. Lamunan Haiqal yang sejak tadi memerhatikan gelagat alam terhenti tiba-tiba. Haiqal mengangkat punggungnya dan masuk ke dalam rumah. Di tepi pintu rumah kelihatan Aslam sedang duduk sambil menggulung kertas rokok tembakaunya. Haiqal menggeleng-gelengkan kepalanya melihat ayahnya yang tegar dengan tembakau kesayangannya itu. Dari arah bilik, kedengaran bunyi riuh adik-adik Haiqal yang sedang bermain usik-mengusik. Bingit telinga dibuatnya tapi sudah menjadi kebiasaan bagi dirinya. Kalau itu yang membuatkan adik-adiknya gembira dan ketawa, tiada salahnya dibiarkan begitu sahaja. Haiqal sempat memerhatikan gelagat dua orang adiknya bergelut manja di dalam bilik tidur yang tidak berpintu itu. Dia mengulumkan senyum dan kemudian terus berjalan ke dapur mencari Kalsum. Di dapur, kelihatan Kalsum sedang sibuk menyiang ikan yang dipancing oleh Haiqal dan ayahnya awal pagi tadi. Haiqal duduk bertenggek memerhatikan emaknya dan hanya tersenyum.

Haiqal memerhatikan wajah emaknya dari jauh. Walaupun emaknya bersikap tenang sepanjang masa, namun dalam wajah tenangnya itu tersembunyi sebuah kesedihan dan tangisan yang sangat hiba. Hanya ketabahan dan kesabaran yang membuatkan emaknya mampu untuk terus hidup selepas menjalani satu liku hidup yang begitu sukar dan memeritkan beberapa bulan yang lepas. Wanita kelahiran Indonesia ini suci wajahnya dengan cahaya iman yang diberikan oleh Tuhan. Walaupun dalam kehidupan yang begitu sukar, Kalsum tidak pernah sesekali mengabaikan tanggungjawabnya sebagai seorang ibu dan isteri. Walau dengan cara apa sekalipun, Kalsum tetap akan memastikan Haiqal dan adik-beradiknya makan seperti anak-anak orang lain juga. Mata Haiqal perlahan-lahan berkaca-kaca. Haiqal tidak mahu menangis dan cepat-cepat bangun meninggalkan emaknya dan beredar ke ruang tamu semula.

“Sudah pukul 10.00 pagi rupanya.” Desis Haiqal di dalam hati sambil merenung jam dinding yang tergantung  di ruang tamu.

“Kenapa dengan kamu ini, Haiqal?” Ayah Haiqal tiba-tiba bersuara.

“Errr... Tidak ada apa-apa bapa. Fikiran sedikit kacau.” Haiqal sediit terkejut kemudian menjawab pertanyaan ayahnya itu.

“Apa yang mengganggu fikiranmu?” Soal Aslam lagi. Kepulan-kepulan asap rokok tembakau keluar daripada mulut Aslam setiap kali dia membuka mulutnya.

“Erm, Haiqal risau dengan keadaan ayah yang kuat sangat menghisap rokok tembakau.” Haiqal cuba menyembunyikan hal yang sebenarnya bermain dalam fikirannya. Haiqal tidak mahu ayahnya tahu akan kesengsaraan jiwanya yang dihimpit oleh kesempitan dan kemiskinan hidup mereka.

“Kalau sudah ajal, mati juga, Qal.” Jawab Aslam ringkas.

Haiqal terkelu mendengar kata-kata spontan ayahnya itu. Dia sudah tidak tahu untuk berkata apa-apa lagi. Haiqal kemudian merebahkan badan di atas lantai rumah yang tidak beralas. Lantai papan inilah yang menjadi tilam tempat dia sekeluarga beradu merehatkan diri dan tidur pada waktu malam. Tilam? Bantal? Mungkin beberapa tahun lagi dapatlah haiqal sekeluarga merasakan empuk tilam dan bantal yang diimpikan itu. Itupun kalau diizinkan Tuhan. Kalau tidak, papan inilah yang akan menjadi teman tidur mereka sampai bila-bila.

Perlahan-lahan mata Haiqal semakin layu dan akhirnya terpejam.

1 ulasan:

  1. sad..but interesting..
    tak sabar nk tnggu sambungan..

    BalasPadam

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...